Saturday, December 11, 2010

PANTAI PERANGINAN KELULUT

Pantai Peranginan Kelulut terletak di Daerah Marang. Sentiasa menjadi tarikan dan tempat persinggahan pelancong baik dalam negara mahupun luar negara. Tempat ini juga menjadi salah satu tempat bagi mereka yang gemar akan memancing. Di sini juga menyediakan pentas untuk pelbagai acara. Pentas Budaya MDM ini boleh disewa dan bagi yang ingin membuat tempahan boleh lah masuk ke laman web http://mdm.terengganu.gov.my/web/guest/home.



Pentas Budaya MDM


Di Tempat Peranginan juga menyediakan Taman Permainan untuk kanak-kanak.

KRAFTANGAN MENGKUANG

Kraftangan Mengkuang adalah kraftangan yang menjadi tarikan untuk pelancong untuk membawa balik buah tangan dari Terengganu. Beg- beg mengkuang atau bakul-bakul anyaman serta tikar mengkuang boleh di dapati di Pasar Besar Kedai Payang. Kalau anda datang dari bandar Kuantan, anda boleh berhenti di Kampung Rhu Rendang untuk mendapatkan barang-barang kraf yang terdapat di sepanjang jalan Kampung Rhu Rendang. 




KRAFTANGAN BATIK

Sejarah Batik

Batik merupakan satu bidang kraftangan yang unggul di Malaysia. Sejak abad ke 15 Masihi lagi manusia telah menemui kaedah pembuatan batik secara tradisional. Pada masa dahulu, masyarakat Melayu menggunakan ubi kentang sebagai alat pengecap tetapi kini kain batik telah diusahakan dengan menggunakan alat-alat moden. Batik mula diperkenalkan di negara kita khususnya di negeri Kelantan sejak tahun 1910 lagi. Batik berasal dari Indonesia dan terbit dari perkataan Jawa 'tik' yang bermaksud menitik atau menulis titik-titik. Ambatik pula bermaksud melukis, menulis, mewarna atau menitik. Di alam Melayu, sejenis batik yang dipanggil Batik Pelangi telah diperkenalkan sejak tahun 1770-an lagi. Di Malaysia kebanyakan kilang perusahaan batik banyak terdapat di Kelantan dan Terengganu.



KRAFTANGAN SONGKET

Sejarah

Kain Songket adalah hasil daripada tenunan benang sutera atau kapas yang ditenun bersama-sama dengan benang emas atau perak. Ia telah terkenal di Malaysia sejak abad ke 15 yang lampau. Perkataan songket berasal daripada perkataan sungkit iaitu teknik menyungkit. Industri tenunan songket ini telah berkembang pesat terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur seperti di Terengganu dan Kelantan. Bunga atau hiasan di kepala kain di tenun mengikut citarasa penenun. Corak atau ragam hias tersebut dikenali dengan nama-nama seperti tapak manggis, pucuk rebung, lawi ayam dan sebagainya.

Tenunan songket ini dilakukan sebagai industri kecil, yang mana kemahiran seseorang penenun itu mengambil masa selama enam minggu untuk menghasilkan sehelai kain songket yang panjangnya di antara 20 hingga 40 meter. Sesuatu yang mengkagumkan tentang seseorang penenun mahir ialah, dia tidak melakar corak songket di atas kertas sebelum kerja-kerja menenun dilakukan sebaliknya ia tercetus daripada daya kreativiti dan imaginasi yang tinggi lagi unik.

PULAU KAPAS

Pasirnya yang putih umpama kapas, airnya yang jernih bak kristal, berkilauan bila di sinari sang mentari. Liuk lintuk dedaun kelapa bila di tiup sang bayu seolah-olah menggamit pengunjung agar berkunjung ke Pulau Kapas yang terkenal di Marang, Terengganu. Lokasinya hanya 6km dari Pantai Marang dan mengambil masa selama 30 minit dari Jeti Marang untuk sampai ke Pulau Kapas. Pulau ini amat sesuai untuk bersantai dan menenangkan minda. Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh memenuhi percutian anda umpamanya snokel, menyelam, berenang, kayak dan memancing. Mungkin anda tidak akan jemu unrtuk berkunjung lagi ke Pulau Kapas yang indah ini.



KRAFTANGAN ROTAN

Barangan kraftangan ada berbagai jenis termasuk yang di perbuat daripada rotan. Bermacam reka bentuk  yang boleh kita dapati. Yang boleh dijadikan pasu bunga, tudung saji, beg tangan dan bermacam lagi. Kraftangan rotan ini boleh di beli Pasar Besar Kedai Payang atau di sepanjang jalan Kampung Rhu Rendang. Ia menjadi tarikan utama ketika anda melalui jalan utama dari Kuantan ke Kuala Terengganu.



Tuesday, December 7, 2010

KEINDAHAN DARI MENARA TINJAU

Menara ini terletak di tepi Sungai, Bandar Marang. Untuk sampai di sini anda perlu membelok ke kanan ( dari arah Dungun) di Lampu Isyarat Bangunan MARA/Majlis Daerah Marang atau belok ke kiri ( dari arah Kuala Terengganu). Antara Bandar Marang dan Bandaraya Kuala Terengganu sejauh 20 km sahaja.

Menara yang setinggi 20 kaki dibina di tepi sungai bagi memudah pelancong melihat dan menikmati pemandangan yang indah di kawasan Sungai dan muka Kuala. Dari sini kita akan dapat melihat bandar Marang seperti masjid, pasar, pasar minggu, deretan kedai makan dan bangunan perniagaan.

Jauh di sana ternampak Pulau Kapas yang tersergam indah. Kelihatan juga muka Kuala yang dilingkung batu pemecah ombak. Kawasan ini menjadi tumpuan kaki pancing kerana terdapat banyak ikan. Kelihatan bot-bot nelayan sedang berlabuh dan ada yang juga yang sedang membersih bot malah di darat terdapat nelayan sedang membaiki pukat dan jaring. Tidak rugi jika datang ke sini untuk merakam aktiviti nelayan yang sibuk bekerja seharian.