Monday, December 6, 2010

SEJARAH MARANG

Pelbagai cerita dan dongeng dikaitkan dengan asal usul nama daerah Marang ini, di antara yang menariknya ialah dipercayai ianya berasal daripada nama seorang peniaga keturunan Cina yang sangat terkenal pada suatu masa dahulu. Peniaga ini dipanggil 'Ma' dan beliau tinggal di Kuala Sungai. Diceritakan beliau adalah seorang pengusaha hasil laut yang dikeringkan seperti ikan dan sotong. Pada masa itu di kediaman beliau terdapat banyak jemuran hasil-hasil laut tadi yang dipanggil 'rang' oleh penduduk tempatan. Dipercayai oleh kerana banyak nya 'rang' itu dan terkenal nya pengusaha cina yang bernama 'Ma' tadi maka terbitlah nama "Marang" yang sehingga kini diguna pakai.

Sejarah pentadbiran Daerah Marang  pula telah bermula sebelum daripada pemerintahan Baginda Omar (1839 – 1876). Ia diketahui oleh pembesar – pembesar daerah yang dilantik oleh Tuanku Al- Sultan.Pentadbiran  oleh pembesar daerah ini adalah berasaskan kepada pemerintahan kawasan sungai  (river districts). Semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III dari tahun 1881 hingga 1918 M, Yang Dipertuan  Muda Tengku Mohamad telah diberi kuasa menjaga kawasan Sungai Marang manakala Tengku Putra yang diwakili isterinya iaitu Puteri kepada Tengku Long dan Tengku Safiah diberi kuasa menjaga kawasan Sungai Merchang. Mereka adalah bertanggungjawab menjalankan pentadbiran kutipan cukai dan hasil. Penghulu – penghulu tidak mempunyai kuasa mentadbir. Kuasa mereka hanya terhad kepada kampung – kampung tertentu sahaja.

Pada tahun 1912 sistem pentadbiran daerah oleh pembesar – pembesar daerah telah digantikan oleh Pegawai Daerah yang juga mentadbir berasaskan pemerintahan kawasan sungai (river districts). Pegawai Daerah Marang yang dilantik itu akan mentadbir kawasan ‘ river districts ’ yang terangkum di dalam Daerah Marang termasuk Merchang.

Pada tahun 1923 ketika pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dari 1920 hingga 1942, Penasihat British yang pertama di Terengganu iaitu J.L. hunphreys telah memperkenalkan sistem pentadbiran wilayah yang baru di mana Daerah Kuala Terengganu.  Kuala Berang dan Marang diletakkan  di bawah Jajahan  tengah dengan pusat pentadbiran nya di Kuala Terengganu. Daerah – daerah lain seperti Kemaman, Kemasik, Paka dan Dungun telah diletakkan di bawah jajahan Timur dengan pusat pentadbirannya di Kemaman. Manakala Besut dan Setiu diletakkan di bawah Jajahan Barat dengan pusat pentadbirannya di Kampung raja. Setiap jajahan tersebut diketuai oleh seorang Pesuruhjaya dengan dibantu oleh Penolong Penasihat British dan Pegawai Daerah masing –masing.
Bagi memperkemaskan lagi pentadbiran daerah, bangunan Pejabat Daerah Marang yang pertama telah dibina pada tahun 1915 berasaskan kepada model Pejabat Daerah Johor. Berdasarkan maklumat lisan, Bangunan Pejabat Daerah Marang yang pertama telah dibina di tepi Muara Sungai Marang.
Pegawai – pegawai Daerah yang telah sempat memberikan khidmat mereka ialah:

• Y.M. Tengku Chick Haji
• Encik Ali B. Mohamad
• Y. Bhg. Dato’ Pahlawan (Encik Taib)
• Y.M. Tengku Zainal (Tengku Aria)
• Y.M. Tengku Sulong B. Ali (Tengku Lela Segera)

No comments:

Post a Comment